Friday, October 25, 2013

Sumber kekuatan

Bismillahirrahmanirrahim..





Kekuatan barangkali boleh dibahagi kepada dua yakni kekuatan fizikal dan kekuatan rohani. Tidak berpada/cukup kalau seseorang itu punya kekuatan fizikal sahaja dan menumpukan hanya untuk memperkasa kekuatan fizikal tanpa jiwa rohani yang kental. Kekuatan fizikal yang tampak hebat dimata manusia bila-bila sahaja boleh tumbang jika rohaninya lemah.

Sebab itu mudah sahaja kita dengar cerita-cerita manusia (malah kisah hidup kita sendiri) yang bekerja keras mengejar dunia tetapi hidup sering-kali berasa kecewa dan gelisah kerana sentiasa tidak berasa cukup dengan segala yang dikecapi. Kita mungkin punya kekuatan fizikal untuk mengejar cita-cita (duniawi) kita tapi tak cukup kekuatan rohani untuk redha dengan segala ujian Allah dipertengahannya dan ketentuan Allah diakhir usaha kita..

Ada satu tips yang dikongsi oleh Ustazah Nor Hafizah dalam Usrati di IKIM.fm tadi untuk kita mungkin boleh sama-sama beramal agar diberi kekuatan yang luar biasa oleh Allah.

Kata ustazah yang ketika menukilkan satu hadis, kemulian seorang mukmin adalah pada bangun malamnya. Dan dalam surah al-Muzzammil juga Allah mengajak kita untuk bangun solat pada waktu malam kerana padanya lebih kuat mengisi jiwa dan menyiapkan kita untuk menempuh siang yang panjang dan sibuk.
 
Ya, yang selama ini kita cari adalah kekuatan jiwa/rohani/ ukhrawi (namakan sahaja apa yang seangkatan) untuk menempuh kehidupan dunia dan akhirat dengan jayanya tapi kita manusia sering tersalah pilih kerana pandangan alam kita yang limited yakni hanya untuk duniawi.  Maka kita lupa untuk memperkuat rohani kita setiap hari walaupun hanya untuk bertahajud 2 rakaat.

[1] Wahai orang yang berselimut!. 
 [2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), 
 [3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, 
 [4] Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”. 
 [5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). 
 [6]Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. Al- Muzzammil, 73: 1-6


Indahnya Islam! Semuanya dah diajar dalam kitab yang mulia dan suci al- Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Semoga kita ditingkatkan ilmu dan kefahaman juga diberi kekuatan untuk terus istiqomah beramal dengannya..

Salam Jumaat yang penuh berkah!
Mahallah Maimunah 8, IIUM Kuantan



Wallahualam.

No comments: